Tuesday

Fizo Omar: Belajar buat burger tepi jalan


  SEBUT sahaja Hot Burger, daripada anak kecil sehingga orang dewasa pasti kenal jenama burger ini. Sudah tentu mereka juga mengenali pemiliknya, pelakon filem Cinderella, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar yang turut bekerjasama dengan dua rakan kongsinya Rizal Musa dan Asri Hamid.

Mereka ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan. Siapa sangka Fizo sebenarnya hanya belajar membuat burger daripada penjual burger tepi jalan yang dianggap sebagai ‘pakar terbaik’.

“Saya suka memerhati. Dari situ saya banyak belajar. Jika abang jual burger tepi jalan ini pun boleh berjaya, saya juga boleh,” katanya.

Idea perniagaannya mudah. Konsepnya hanya dengan mengkomersialkan perniagaan burger tepi jalan. Bermula di situ, lahirlah jenama Hot Burger dengan tagline ‘Harga Kaki Lima, Rasa Bintang Lima’.

“Kami beroperasi bermodalkan pelaburan  RM200,000 dan membuka lima buah gerai di sekitar Kuala Lumpur. Modal itu juga diguna untuk menubuhkan syarikat yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur.

“Melihat kerancakan perniagaan di Kuala Lumpur, kami memasuki pasaran Kelantan pada hujung 2013 sebelum memperkenalkan jenama ini di Selangor. Kini Hot Burger memiliki hampir 100 buah gerai di tiga negeri ini,” katanya yang memulakan perniagaan penghujung 2012.

Selepas Kuala Lumpur, Kelantan dan Selangor, Hot Burger kini boleh didapati di Melaka dan dijangka berada di pasaran Johor pada April atau Mei, sebelum rasa lima bintang Hot Burger dapat dinikmati rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

“Sasaran kami untuk mewujudkan 350 gerai Hot Burger di Semenanjung Malaysia menjelang 2017. Setakat ini, di Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing terdapat 30 gerai dan Selangor 40 gerai. Kami juga rancang memperkenalkan Hot Burger ke Sabah dan Sarawak selepas 2017," katanya.

Peniaga lalui proses tapisan Bukan semua orang boleh menjadi peserta (peniaga) Hot Burger. Tapisan tetap perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar komited dan berminat diberi
keutamaan.

“Tiada syarat ketat dikenakan, tetapi bukan bererti mereka mudah diterima kerana bimbang akan ada yang mengambil kesempatan. Kami akan selidik dahulu latar belakang peserta.

“Bila sudah dipilih, mereka ini wajib mengikuti kursus asas peniagaan maksimum 10 hari. Sepanjang kursus peserta akan diajar bagaimana untuk memasak dan memastikan kualiti dan rasa burger mengikut standard ditetapkan.

“Mereka juga diajar menguruskan perniagaan, termasuk pengurusan akaun,” katanya. Walaupun berniaga di kaki lima, Hot Burger amat mementingkan profesionalisme. Setiap peserta perlu mematuhi standard ditetapkan syarikat.

Gerai perlu bersih, pakaian pekerja perlu seragam dan tahu melayan pelanggan. “Paling penting gerai Hot Burger bukanlah tempat melepak dan kami akan tutup operasi selama 30 minit pada waktu Maghrib,” katanya.

Bagi menjamin kualiti burger dijual dengan rasa sama di semua gerai Hot Burger, pemantauan berkala sentiasa dilakukan. “Pengurus dan penyelia yang dilantik akan memantau keadaan gerai dan peniaga setiap malam.

Jika ada masalah saya sendiri akan turun dan kaji mengapa ia berlaku. “Jika sasaran jualan tidak capai standard, kamiakan lihat beberapa aspek yang mungkin menjadi puncanya. Antaranya kualiti masakan
burger, lokasi atau promosi.

“Sekiranya lokasi menjadi masalah, gerai akan dipindahkan ke kawasan lebih berpotensi. Jika rasa burger puncanya, peniaga akan diajar agar kualitinya sama seperti ditetapkan.

Fizo tegas singkir peniaga menipu

“Peluang sudah diberikan, tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Menipu, membeli bekalan barangan dari luar dan melarikan gerai antara cabaran yang pernah
saya lalui.

“Jika salah, kita denda. Jika kesilapan itu berat, operasi perniagaan mereka dihentikan.Status mereka sebagai wakil peniaga Hot Burger digugurkan serta-merta. Sebarang rayuan tidak akan dilayan.

“Salah tetap salah. Saya amat tegas jika melibatkan perkara-perkara seperti ini. Mereka yang ada rekod seperti ini, tidak akan diterima kembali,” katanya.

Menurut Fizo, Hot Burger terus melebarkan sayap dengan pembukaan perniagaan francais Hot Burger Cafe yang pertama di Pasir Puteh, Kelantan. Berkonsepkan ‘take away’, kafeteria ini bakal berada di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Rasa dan kualiti burger tetap sama, cuma bungkusannya lebih eksklusif. Menariknya di kafeteria kami pelanggan boleh menikmat pelbagai menu istimewa antaranya Super Burger Special dan Burger Stim.

“Insya-ALLAH, saya mahu melihat Hot Burger Cafe berada di semua kompleks membeli belah terkemuka. Pada saya tiada apa yang mustahil,” katanya sambil menambah kos memulakan perniagaan kafeteria itu menelan perbelanjaan sehingga RM200,000.

Selain perniagaan baharu itu, Fizo juga bakal memperkenalkan Hot Burger Mobil dijangka April ini. “Saya akan menggerakkan tiga buah lori, dua diKuala Lumpur dan satu di Kelantan.

“Hot Burger Mobil akan bergerak ke mana sahaja lokasi orang ramai. Berbekalkan modal serendah RM10,000, sesiapa yang berminat boleh terus melayari laman sesawang atau menerusi laman Facebook kami.

Bantu ibu tunggal

Sama seperti usahawan yang lain, keuntungan mestilah sebahagian daripada agenda perniagaan itu sendiri. Tiada siapa berniaga untuk rugi. Tetapi bagi Fizo, keuntungan bukanlah segala-galanya. Niatnya hanya satu iaitu untuk membantu golongan belia memulakan perniagaan.

“Keuntungan bukan segalanya, malah saya tidak ambil sedikit pun daripada mereka. Melihat mereka berjaya, raih pendapatan tinggi, itulah keuntungan besar untuk saya.

“Cuma bekalan bahan mentah termasuk sos tomato, sos lada hitam, mayonis dan roti perlu original daripada Hot Burger dan dilarang sama sekali mengambil stok dari luar,” katanya.

Katanya, jika sebuah gerai menjual minimum 100 biji burger sehari, peniaga mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga melebihi RM10,000 sebulan. Selain itu, Fizo turut bekerjasama dengan
Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat demi membantu golongan ibu tunggal.

Seramai 10 orang ibu tunggal dari Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur dipilih untuk memulakan perniagaan Hot Burger secara percuma. “Saya juga dalam perancangan untuk memberi peluang perniagaan kepada anak-anak yatim yang tamat pelajaran tetapi tidak mendapat tempat di mana-mana universiti.

Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran permulaan berniaga. Menurut Fizo, beliau mengambil masa empat tahun membuat kajian dan pemerhatian terhadap perniagaan penjualan burger sebelum memulakannya.

“Sejak kecil saya sudah mula berniaga, jual santan, kasut terpakai dan macam-macam lagi. Pahit manis jatuh bangun dalam perniagaan semua saya lalui. Proses itulah yang membawa saya ke tahap
ini akhirnya.

“Apa juga perniagaan yang mahu dibuat, yang penting adalah niat, kejujuran dan keikhlasan. Insya-ALLAH kita akan berjaya,” katanya.



SUMBER :