Sunday

MH370 Hilang: Ibu amat berharap anak perempuan ditemui selamat

JERLUN: Ibu seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilapor hilang hari ini, amat berharap anak perempuannya itu ditemui dalam keadaan selamat. 


Tan Tuan Lay, 53, berkata anaknya Chew Kar Mooi, 31, ke Beijing atas urusankerja dan beliau hanya mengetahui mengenai kehilangan pesawat itu pada kira-kira 9 pagi tadi melalui anak sulungnya, Chew Kar Hui, 33 .

"Sebelum Kar Mooi menaiki pesawat dia ada menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) kepada kakaknya bahawa pesawat yang dinaikinya akan berlepas.

"Selepas itu, kami tidak dapat apa-apa berita mengenainya sehinggalah anak
sulung saya beritahu pihak MAS mengarahkannya membawa pasport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

"Kami sekeluarga amat mengharapkan pesawat itu dijumpai dan anak kami
selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Kerpan dekat
sini, hari ini.

Tan berkata anak keduanya itu, yang bekerja sebagai pegawai bahagian
pinjaman di Maybank Kuala Lumpur, merupakan seorang anak yang periang dan sering
berkongsi masalah dengan keluarga.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah pada Tahun Baharu Cina lepas,"
katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang pesawat itu Jee Jing Hang, 41,
menghubungi ibunya yang tinggal di Jitra sebelum bertolak ke Beijing, pada 
kira-kira 11 malam tadi.

Abang mangsa, Jee Jing Hong, 42, berkata bagaimanapun adik lelakinya itu
yang juga pengatur cara komputer dan memiliki syarikat sendiri di Seremban,
tidak memaklumkan tujuannya ke Beijing.

Jing Hong dan kedua ibu bapanya begitu terkejut apabila dimaklumkan bahawa
pesawat B777-200 MAS dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan
Pusat Trafik Udara Subang kira-kira dua jam selepas bertolak dari KLIA pada
kira-kira 2.40 pagi.

Jing Hong berkata mereka sekeluarga mengetahui mengenai kejadian itu
daripada laporan berita di televisyen sebelum menghubungi MAS petang tadi.

"Saya tinggalkan nombor telefon kepada pengurusan MAS dan mereka
berjanji untuk memaklumkan saya sebarang perkembangan (insiden ini).

Dalam masa sama, saya memantau keadaan daripada laporan berita di televisyen, portal berita
dan radio bersama-sama saudara mara saya.

" Kami akan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi selepas menerima pengesahan
mengenai keadaan pesawat itu," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di
Taman Rasa Sayang, Jitra dekat sini.

Jing Hang merupakan duda yang mempunyai dua anak berusia 11 dan 13
tahun.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 kru, berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 12.41
pagi dan sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu waktu tempatan. - BERNAMA