Thursday

Kadar Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang (Parlimen)

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar,George Town Pada 28.11.2012


Adakah Kerajaan Persekutuan BN Bercadang Menaikkan Harga Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang Lebih Tinggi Daripada RM9.40 Yang Pasti Akan Dikenakan Juga Untuk Jambatan Pertama Yang Kini Pada Tahap RM7?
Adakah Kerajaan Persekutuan BN Bercadang Menaikkan Harga Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang Lebih Tinggi Daripada RM9.40 Yang Pasti Akan Dikenakan Juga Untuk Jambatan Pertama Yang Kini Pada Tahap RM7? BN harus menjawab soalan penting ini berikutan keengganan YB Menteri Kerja Raya menjawab soalan saya di Parlimen tentang kadar tol yang akan dikenakan sebaik jambatan Kedua Pulau Pinang dibuka untuk lalulintas pada Nov 2013.
Dalam jawapannya kepada saya secara bertulis  pada 26 Nov 2012, YB Menteri hanya menyatakan bahawa kadar tol ini akan diumumkan setelah keseluruhan projek ini disiapkan kelak pada Sept 2013. Sebelum ini Kerajaan Persekutuan BN menyatakan kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang telahpun ditetapkan pada harga RM9.40. Ini bermakna bahawa kadar tol untuk Jambatan Pertama Pulau Pinang akan dinaikkan daripada RM7 kepada RM9.40 kerana tidak ada sesiapa akan gunakan Jambatan Kedua sekiranya kadar tolnya jauh kebih tinggi daripada Jambatan Pertama. Malah berkemungkinan besar pengguna kenderaan akan lebih memilih Jambatan Pertama sungguhpun kadar tol kedua-dua jambatan adalah sama kerana jarak Jambatan Kedua sepanjang 23.5km adalah lebih panjang dan memakan duit minyak berbanding dengan Jambatan Pertama sepanjang 13km.
Kegagalan mengesahkan ataupun mengumumkan kadar tol menimbulkan tanda-tanya samada ia akan lebih tinggi daripada RM 9.40. Kerajaan negeri Pulau Pinang memang mengalu-alukan keputusan kerajaan perseketuan meluluskan RM 780 juta untuk menaiktaraf 3 jalan utama penghubung kepada Jambatan Kedua Pulau Pinangg di Batu Maung sungguhpun ia lewat bermula dan akan siap pada pertengahan 2014 iaitu 9 bulan lebih lewat daripada siapnya Jambatan Kedua pada Nov 2013.
Jawapan bertulis adalah di bawah:-
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN LIM GUAN ENG
KAWASAN  : BAGAN
TARIKH     : 26 NOVEMBER 2012 ( ISNIN )
SOALAN :
YB TUAN LIM GUAN ENG minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan tol yang akan dikenakan untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang. Bilakah ia akan siap dan akan dibuka untuk kegunaan awam. Nyatakan juga kos perkembangan pembinaan jalan-jalan penghubung dari Jambatan Kedua Pulau Pinang yang mendarat di Batu Maun ke George Town dan ke Balik Pulau, tarikh ia siap, kos pembinaan dan kepada kontraktor mana. Adakah projek ini akan siap serentak atau selepas Jambatan Kedua Pulau Pinang siap.
JAWAPAN :
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, sehingga 31 Oktober 2012 kemajuan fizikal keseluruhan projek membina Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah mendahului jadual, iaitu 84% telah siap berbanding 82% mengikut jadual asal. Berdasarkan perancangan oleh syarikat konsesi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), projek dengan nilai kos RM4.5 billion itu dijangka akan siap keseluruhannya pada bulan September 2013 dan akan dibuka kepada lalu lintas pada bulan November 2013. Manakala kadar tol untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang akan diumumkan setelah keseluruhan projek ini disiapkan kelak.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, bagi mengatasi masalah kesesakan lal lintas yang dijangka berlaku apabila Jambatan Kedua Pulau Pinang dibuka kelak, Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya telah bersetuju untuk menaik taraf 3 jalan utama di bahagian pulau dengan anggaran kos projek keseluruhan sebanyak RM780 juta. Ketiga- tiga cadangan projek jalan terlibat ialah menaik taraf Jalan Persekutuan FT 3113 dari Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang sepanjang 4.5 kilometer; menaik taraf Jalan Negeri P10 dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah sepanjang 6 kilometer dan menaik taraf Jalan Persekutuan FT06 dari Teluk Kumbar ke Bayan Lepas sepanjang 2.7 kilometer.
Berdasarkan perancangan dan semakan semula oleh kementerian ini, ketiga- tiga projek itu akan dimulakan selewat- lewatnya pada akhir tahun ini (2012) dan dijangka siap secara berperingkat- peringkat, iaitu dalam tempoh 18 bulan. Pada masa kini reka bentuk projek-projek berkenaan sedang di peringkat akhir sebelum proses memanggil tender dibuat. Oleh itu, sementara menunggu projek – projek tersebut disiapkan, kementerian ini akan meningkatkan aspek sistem pengurusan trafik (traffic management), khususnya di Jalan Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang. Ia bertujuan untuk melicinkan pergerakan aliran trafik di laluan berkenaan dan seterusnya mengurangkan impak kesesakan lalu lintas.
Sekian. Terima kasih.

SUMBER : http://www.penang.gov.my/index.php/2013-04-01-05-24-50/kenyataan-akhbar-yab-km/2163-kadar-tol-jambatan-kedua-pulau-pinang-parlimen