Saturday

Israeli Apartheid Week | Episod 2 | Keakraban Apartheid Afrika dan Israel

 
TAHUKAH ANDA?

 Sejak awal penubuhan Israel, pemimpin Zionis sentiasa tercari-cari formula terbaik untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah Judea dan Samaria (wilayah Tebing Barat hari ini). Ben-Zion Dinur, Menteri Pendidikan Israel yang pertama pernah menyebut:

“Negara ini hanya mempunyai tempat untuk Yahudi. Kita perlu katakan dengan jelas kepada Arab: ‘Nyah kamu!’ Jika mereka tidak mahu berganjak,...
kita perlu mengusir mereka sungguhpun melalui jalan kekerasan.”

Dengan kata lain, pengusiran rakyat Palestin daripada kampung halaman mereka sentiasa menjadi objektif utama Zionis Israel. Mereka tidak pernah berimpian untuk menerima rakyat Palestin di tanah itu sekali pun sebagai golongan minoriti. Namun, kecekalan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak mereka telah menjadi penghalang besar kepada cita-cita Israel. Justeru, Israel telah merujuk kepada negara yang mempunyai modus operandi yang hampir sama dengannya iaitu Republik Afrika Selatan.

Seorang diplomat Israel mendedahkan bahawa, Ariel Sharon sering berulang-alik ke Afrika Selatan pada awal tahun 1980an. Ketika itu beliau merupakan Menteri Pertahanan Israel. Lawatan beliau merupakan penerusan kepada hubungan rahsia Israel-Afrika Selatan sejak 1967, pasca kejayaan Israel dalam Perang Arab-Israel pada tahun tersebut. Sebagai seorang yang obses dengan peta, Ariel Sharon dikatakan menunjukkan minat yang mendalam terhadap sistem bantustan di Afrika Selatan. Beliau yang merupakan antara penyokong kuat kepada projek-projek penempatan haram Yahudi Israel di Tebing Barat sejak tahun 1977 yakin bahawa sistem tersebut mampu dilaksanakan dengan jayanya di Tebing Barat. Justeru, beliau telah mencuri bulat-bulat idea-idea tersebut sehingga kepada bilangan bantustan yang dicadangkan.

Ariel Sharon telah menjalinkan hubungan strategik yang akrab dengan kerajaan apartheid Afrika Selatan dengan membekalkan latihan ketenteraan dan komando kepada pasukan tentera Afrika Selatan bagi menghadapi serangan daripada kumpulan gerila kulit hitam. Sistem pertahanan yang digunakan di Israel telah dikongsikan dan sebagai balasannya Afrika Selatan berkongsikan pula strategi mereka memetakan bantustan dan mengeksplotasi undang-undang untuk menekan warga kulit hitam. Kedua-dua pihak menjadikan bantustan-bantustan di Palestin mahu pun di Afrika Selatan sebagai makmal untuk mereka mencuba polisi-polisi apartheid yang mereka rangka.

Malangnya, apartheid Afrika Selatan tidak kekal lama selepas Nelson Mandela dibebaskan daripada penjara pada 1991. Beliau berjaya menggerakkan solidariti seluruh dunia mendesak warga kulit putih Afrika Selatan untuk tunduk kepada undang-undang antarabangsa yang menolak amalan apartheid. Namun, apartheid Israel masih tetap segar dan berdiri kukuh.

Nantikan pendedahan kepada model apartheid Israel dalam episod ke-3 esok! Khas dibawakan kepada anda sempena Israeli Apartheid Week (IAW) Malaysia 2014.

[KJ]