Saturday

Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong


BERENDAM dalam kolam air panas semula jadi yang dikelilingi panorama indah dengan kehijauan alam memang mendamaikan. Tekanan kerja yang membebankan pasti hilang sebaik kaki direndam di kolam.

Itulah dirasai penulis tatkala berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Legong di Baling, Kedah. Belum pun sampai, terasa tidak sabar merasai kehangatan air panas semula jadi yang banyak kebaikannya termasuklah merehatkan minda serta merawat kulit.





Terletak 21.5 Kilometer (km) dari pekan Baling, kedatangan penulis bersama rakan media ke situ disambut hujan lebat, menjadikan suasana semakin sejuk.

Melangkah masuk ke pusat rekreasi itu, tiada pengunjung yang ada dan hanya wap air panas semula jadi di empat kolam.


Pelik, kenapa tidak ada pengunjung langsung, detik hati penulis. Dek kerana hujan semakin lebat membasahi bumi, jawapan kepada kata hati penulis itu tidak diendahkan sebaliknya sibuk mencari bilik penginapan yang disediakan.


Belumpun hujan berhenti, rakan-rakan memanggil untuk berendam di kolam air panas yang dari tadi menanti untuk dikunjungi.

Dibuka sejak 1997, pusat rekreasi air panas itu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung bukan saja dari sekitar Baling tetapi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur setiap hari termasuk hari kelepasan am.

Tetapi apa yang diperkatakan tidak sama dengan apa yang berlaku. Ini kerana, selepas sejam berendam, masih tidak kelihatan pengunjung yang datang.

Hari semakin gelap dan kami mengambil keputusan kembali ke bilik masing-masing. Melangkah mening­galkan kolam air panas itu, satu persatu pengunjung memasuki kawasan pusat rekreasi itu. Semakin gelap, semakin ramai yang datang.

Barulah penulis tahu, pengunjung yang datang ke situ kebanyakan di waktu malam. Suasana sunyi dengan ditemani kehijauan alam semula jadi petang tadi menjadi meriah seperti di majlis keramaian. Keriangan kanak-kanak mandi di kolam yang disediakan khas untuk mereka memecah keheningan malam.

Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong menyediakan lima kolam air panas kepada pengunjung iaitu sebuah kolam sumber mata air panas, dua kolam mandi dewasa, kolam kanak-kanak serta kolam khas untuk wanita dengan bayaran RM4 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.

Selain kolam renang, pusat rekreasi Air Panas adalah satu-satunya yang beroperasi 24 jam di negara ini dengan pelbagai kemudahan, antaranya medan penjaja, surau, bilik persalinan, tandas, padang permainan kanak-kanak, jambatan gantung konkrit, tiga wakaf konkrit, tapak perkhemahan dan laluan trek refleksologi.

Bagi memberi keselesaan terutama yang datang dari jauh, pusat rekreasi turut menyediakan 14 chalet termasuk dua bilik VIP dan empat Standard serta dua blok mengandungi lapan asrama berhawa dingin (10 orang satu bilik) kepada pengunjung.

Menambahkan lagi keselesaan kepada pengunjung yang menginap di situ, setiap bilik juga dilengkapi sistem penghawa dingin dan televisyen siaran berbayar.

Pengunjung yang mahukan hak eksklusif pula boleh menyewa chalet VVIP yang dibina menghadap anak sungai yang bersebelahan kolam mandi utama.

Tapak perkhemahan juga disediakan kepada pengunjung dengan bayaran RM5 saja.

Puas merasai nikmat khasiat berendam di air panas semula jadi, anda boleh melakukan aktiviti lain termasuk meredah hutan dengan melalui denai di bukit bukau berhampiran.

Selain meredah denai, Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong turut menawarkan pakej mandi-manda di Jeram Lata Gading dan Lata Parit dengan kesejukan airnya dengan dikelilingi kehijauan alam semula jadi Hutan Simpan Ulu Muda atau mendaki gunung.

Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong kini sedang dinaik taraf kemudahan dan kelengkapan bagi menambah keselesaan kepada pengunjung.

Sebanyak tiga lagi kolam, tandas awam, bilik persalinan, kafeteria baru akan di bina selain gerai cenderahati.

Menariknya, Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong akan membina spa dan bilik penginapan baru bagi menambah keseronokan serta menarik ramai pengunjung ke situ.

Dengan kehangatan kolam air panas, kehijauan alam semula jadi yang disajikan selain kemudahan disediakan kepada pe­ngunjung, Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong adalah destinasi percutian keluarga yang perlu dikunjungi.



INFO


  • Terletak 21.5 km dari Baling, Kedah
  • Mula beroperasi sejak 1997 dan satu-satunya pusat rekreasi yang beroperasi 24 jam setiap hari
  • Tiket masuk berharga RM4 (dewasa) dan RM2 (kanak-kanak)
  • menawarkan 14 chalet berhawa dingin termasuk 2 VIP dan 4 Standard
  • dua blok mengandungi lapan asrama berhawa dingin (10 orang satu bilik).
  • Televisyen siaran berbayar
  • Anggaran harga chalet RM80-RM250