Thursday

Persoalan tentang Bankrap ,Muflis.



PERSOALAN KEBANKRAPAN oleh Datuk Dr Maznah Hamid

Sewaktu sesi Klinik Keusahawanan selepas setiap seminar yang saya adakan, kerap kali persoalan kebankrapan atau muflis ini ditimbulkan. Suka saya kongsikan info berkaitan perkara tersebut.

1. Bolehkah seorang bankrap memohon kepada KPI untuk mengurangkan jumlah hutang?...
KPI bertanggungjawab mentadbir perihal bankrap dan menguruskan estet kebankrapan. KPI tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah hutang yang difailkan oleh pemiutang. Sekiranya bankrap berniat untuk mendapatkan pengurangan jumlah hutang bagi tujuan membuat penyelesaian penuh, bankrap hendaklah menulis atau berjumpa dengan pegawai di bank yang berkenaan untuk memohon pengurangan tersebut.
Sekiranya pihak pemiutang bersetuju dengan permohonan bankrap, bankrap hendaklah membuat pembayaran dengan jumlah baru yang dipersetujui kepada KPI dan KPI akan mengambil tindakan mengisytiharkan dividen kepada pemiutang.

2. Bagaimana seorang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapannya?
Terdapat tiga cara untuk menamatkan status kebankrapannya iaitu:
(a) Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya / tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap;
(b) Membuat permohonan pelepasan ke mahkamah pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah. MdI perlu mengemukakan laporan kes yang menyatakan kelakuan dan kerjasama bankrap kepada Jabatan;
(c) Membuat permohonan pelepasan kepada KPI untuk pelemasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967. Permohonan hanya boleh dibuat sekiranya pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun selain memenuhi kriteria dan syarat-syarat yang lain.

3. Adakah terdapat pelepasan secara automatik untuk bankrap?

Tiada peruntukan dalam undang-undang Malaysia yang memberikan pelepasan kepada bankrap secara automatik. Hanya bankrap dengan kelakuan yang baik boleh dipertimbangkan pelepasan.
Kelakuan yang baik bermaksud:
(a) Memberikan kerjasama yang baik apabila diperlukan;
(b) Bankrap hadir dengan segera setelah diisytiharkan bankrap;
(c) Telah menyerahkan Penyata Hal Ehwal yang lengkap dalam tempoh masa yang ditetapkan;
(d) Membuat bayaran ansuran bulanan secara konsisten;
(e) Patuh kepada arahan KPI dan mahkamah;
(f) Patuh dengan semua sekatan di bawah Seksyen 38 Akta Kebankraan 1967;
(g) Menyerahkan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan pada setiap enam bulan;
(h) Memaklumkan kepada Jabatan sebarang pertukaran alamat atau pendapatan;
(i) Tidak membuat sebarang bayaran secara terus kepada pihak pemiutang; dan
(j) Pengisytiharan dividen.

Untuk maklumat lanjut sila layari : http://www.insolvensi.gov.my/ms/faqs/bankruptcy