Friday

Prof Dr Muhaya : Profil Tokoh Ilmuan Negara



Biodata Profil Prof Dr Muhaya Mohamad
Usia: 54 tahun
Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
Nama suami: Dr Azmi Jamion
Jawatan suami: Doktor perubatan (klinik sendiri)
Anak: Dr Noor Aniah (doktor optalmologi, kini melanjutkan pelajaran) Dr Noor Atiyah (doktor perubatan)

Pendidikan:

- 1980 - 1985 : Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

- 1986 - 1991 : Sarjana Surgeri Oftalmologi UKM

- 1998: PhD dalam bidang Ocular Immunology di Universiti London

Kerjaya

- Profesor Oftalmologi AUCMS

- Pakar Inspirasi dan kolumnis majalah

- Pakar Perunding mata dan Pengarah Pusat Lasik dan Mata, Pusat perubatan Prince Court, Kuala Lumpur
_________________________________________________________________________________


 PERJALANAN kerjayanya untuk mendaki ke puncak dilihat begitu mudah. Sebaik menamatkan kursus doktor pelatih pada 1986, Prof Dr Muhaya Muhamad ditawarkan oleh Datuk Dr Mohd Nor Marahakim, yang digelar Bapa Oftalmologi Malaysia menjadi pensyarah pelatih di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam masa enam tahun selepas mendapat ijazah doktor falsafah pada 1991, beliau dilantik menjadi Pakar Mata dan pensyarah Jabatan Oftalmologi, UKM mendahului rakan seangkatan. Namun, katanya, semua itu adalah anugerah Allah, berkat doa, restu dan sokongan suami serta ibu bapa.


Resipi menjadi doktor terbaik: Prof Muhaya ubati rohani sebelum rawat pesakit

BELIAU yang juga wanita Melayu pertama menjadi Pengerusi Persatuan Doktor Mata Malaysia, mempunyai prinsip terpuji. Bagi Prof Dr Muhaya Muhamad, doktor Muslim perlu memiliki kebersihan rohani sebelum mampu merawat pesakit. Tidak meninggalkan suruhan Allah dan ikhlas membantu insan memerlukan, resipi terbaik bergelar doktor.

Katanya, sekiranya seorang itu bercita-cita menjadi doktor semata-mata mengejar glamor dan wang ringgit, ia sebenarnya tidak sempurna, kerana doktor itu sendiri berperanan membantu dan tidak memikirkan kesenangan mahupun keuntungan diri.

"Sebenarnya menjadi doktor paling mudah untuk kita mendapat pahala kerana menerusinya kita lebih mudah berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada pesakit. Sepanjang pengalaman saya sebagai doktor, selalunya saya akan menyampaikan ingatan dan pesanan kepada pesakit, tidak sekadar merawat semata-mata. 

"Saya ada didatangi pesakit yang terlalu sedih kehilangan penglihatan, tetapi selalu saya tekankan, bahawa insan berkenaan perlu bersyukur kerana hilang penglihatan bermakna dosa daripada segi nafsu dan keinginan dunia akan berkurangan.

"Begitu juga sekiranya ada pesakit yang menghidap penyakit kronik, dan menunggu masa untuk meninggal dunia, selalu saya tekankan, bahawa mati itu pasti berlaku, tetapi sekurang-kurangnya insan berkenaan mempunyai masa untuk beribadah lebih, kerana ada juga kematian berlaku secara tiba-tiba," katanya.

Lantaran prinsip itulah maka wanita yang berusia 50 tahun in cukup disayangi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dan Pusat Perubatan Prince Court. Tanggungjawabnya terhadap dua pusat berkenan yang mana di HUKM, beliau masih bergelar Profesor, sementara di Prince Court menggalas jawatan sebagai Ketua Jabatan Mata.

Prof Muhaya adalah pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur lasik dengan mesin Vismax Femtosecond pada 15 September lalu. Ia adalah satu kaedah termoden dan penghasilan 'flap cornea' dengan VisuMax adalah teknik tanpa pisau sepenuhnya.

Satu ciri penting VisuMax ialah penggunaan kanta lekap yang diletakkan di kornea ketika rawatan dan ini akan membekalkan keselesaan yang maksimum tidak seperti mikrokeratom atau kaedah laser femtosecond yang lain, di mana penglihatan pesakit akan hilang untuk seketika disebabkan peningkatan tekanan yang tinggi. Kelebihan VisuMax, prosedur ini sangat lembut dan pesakit sering menyamakan prosedur VisuMax dengan proses memakai kanta lekap.

Prof Muhaya berkata, semua pesakit yang menjalani pembedahan lasik dengan kaedah itu di Pusat Mata dan Lasik Prince Court melahirkan rasa gembira dan menyatakan ada peningkatan kualiti hidup dari segi kebebasan daripada cermin mata dan dapat bersukan dengan lebih mudah.

Tidak terhenti di situ, ramai pesakitnya yang tetap mencari dirinya dan inginkan rawatan daripadanya kerana prinsip 'cantiknya' itu.

"Tidak dinafikan saya mempunyai pesakit yang ramai, kalau nak diikutkan, mesti jururawat yang bertugas dengan saya mengeluh kepenatan, tetapi saya selalu ingatkan, kalau lagi banyak kita membantu orang lain, lagi banyak kita mendapat pahala," katanya.

Prof Muhaya yang juga penerima pertama Anugerah Toh Puan Rahah pada 1982 yang diberikan kepada pelajar wanita UKM yang paling cemerlang dari segi akademik dan sahsiah berkata, beliau sentiasa berminat mengajar rakan seperjuangan.

Mengimbas kembali kenangan lalu, beliau akui cita-cita menjadi doktor berputik apabila ayahnya membawa beliau melawat Universiti Malaya ketika berumur 10 tahun. Mengingat kata ayah, menjadi doktor saja tidak cukup kerana seseorang Muslim itu perlu menggunakan pendekatan holistik dan menerapkan nilai keislaman dalam rawatan.

Istimewa mengenai Prof Muhaya, beliau amat menitikberatkan aspek agama yang mana selalu mengingatkan pekerjanya supaya tidak meninggalkan solat lima waktu, malah itulah kriteria utama sekiranya ingin bekerja dengannya. Bagi dirinya, sama ada anda seorang pekerja atau majikan, sekiranya amanah Allah tidak dilakukan dengan jujur dan amanah, bagaimana pula dengan amanah kepada diri sendiri, majikan atau bagaimana apabila bergelar bos?

"Orang yang tidak meninggalkan solat dan selalu meminta pertolongan daripada Allah nyata banyak kemudahannya. Saya pernah berhadapan dengan pesakit muda yang selesai menjalani rawatan, mengikut kaedah biasa mampu sembuh dalam seminggu, tetapi pesakit itu tidak sembuh juga walaupun sudah masuk hari ke-10. Saya terus bertanya, adakah anda mengerjakan solat? Dan seperti dijangka jawapannya tidak.

"Begitu juga sekiranya saya melakukan pembedahan terhadap orang yang banyak beramal kepada Allah, kerja pembedahan bagaikan 'dibantu' apabila ia berjalan dengan pantas dan tanpa sebarang masalah. Begitulah besarnya nikmat sekiranya kita beramal ibadat. Saya percaya, kalau kita selalu menolong orang, Allah juga akan sentiasa membantu kita," katanya.

Tidak sia-siakan masa


KEBIJAKSANAAN Prof Muhaya dalam menyampaikan ceramah dan peringatan banyak dipengaruhi oleh ilmu. Katanya, perjalanan dari rumah ke pejabat yang mengambil masa selama satu jam dipenuhi dengan mendengar CD ceramah agama dan maklumat itu dikongsi bersama pekerja dan pesakitnya.

Begitu juga ketika waktu rehat tengah hari umpamanya, beliau akan pastikan diri mendengar input ilmiah termasuk motivasi dan sebagainya, kerana beliau tidak mahu membiarkan masanya terbuang begitu saja tanpa mendapat pengisian.

Nyata amalannya itu diperoleh daripada didikan arwah bapanya yang percaya manusia akan menjadi insan terpuji menerusi ilmu yang dipelajarinya.

"Percaya atau tidak sejak berusia lapan tahun lagi, arwah bapa saya sudah memanggil guru tuisyen mengajar kami adik-beradik subjek matematik dan bahasa Inggeris membuktikan beliau sudah melihat kebaikan ilmu. Bayaran dikenakan ialah RM15 sebulan untuk saya dan kakak yang ketika itu belajar dalam darjah enam. Jumlah yang agak besar pada 1966, tetapi ayah saya tidak peduli.

"Sebagai pegawai tentera, dia mahu anak-anaknya menjadi orang berilmu. Ayah saya memang sangat berdisiplin dan amalan itu saya perturunkan kepada dua anak perempuan saya. Saya tidak sewenang-wenangnya membenarkan anak saya keluar bersuka ria atau menonton wayang, sebaliknya akan ingatkan mereka, adakah mereka ingin bersuka tawa riang, dan menangis pada kemudian hari? Bagi saya ibu bapa sebenarnya yang mencorakkan pendidikan anak-anak mereka," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan dikecapi hari ini, Prof Muhaya mengakui pernah terpengaruh dengan kawan. Naluri anak dara yang suka melawa mendorong beliau memasuki pertandingan kecantikan, tarian, persembahan fesyen dan pelbagai persatuan sekolah.

Kesibukan itu menyebabkan prestasi pelajarannya merosot. Beberapa bulan sebelum LCE (SRP sekarang), tiba-tiba Prof Muhaya tersedar beliau sebenarnya kesuntukan masa untuk belajar. Hatinya panik. Tahun itu buat pertama kali dalam hidupnya beliau menyambut Aidilfitri di asrama dan semua masanya dikhususkan untuk belajar.

"Bimbang juga jika tidak lulus periksa dan `ditendang keluar' daripada sekolah berasrama penuh. Di mana hendak disorokkan muka yang pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah.

"Masuk tingkatan empat, saya kembali menjadi Muhaya yang sebelumnya. Saya suka belajar di perpustakaan sebab sunyi. Hujung minggu, selepas sarapan saya ke perpustakaan untuk belajar. Alhamdulillah, berkat usaha, saya jadi pelajar terbaik MCE tahun itu," katanya.

Kahwin awal

KETIKA di tingkatan lima itulah beliau mula berkawan dengan suaminya, Dr Azmi Jamion ketika bertemu pada Pertandingan Piala Perdana Menteri. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Prof Muhaya ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah, tetapi terpaksa ditolak kerana tidak mendapat kebenaran ayahnya.

"Saya terpaksa menyambung pelajaran di tingkatan enam. Patuh nasihat orang tua, banyak hikmah di sebaliknya apabila dilantik ketua pengawas dan menjadi pelajar Melayu pertama yang dapat empat Prinsipal dalam peperiksaan Higher School Certificate (1978) dan ditawarkan bidang perubatan di UKM bersama suami yang masuk ke UKM terlebih dulu," katanya yang mendirikan rumah tangga pada tahun kedua pengajian. Nyata, perkahwinan tidak menjejaskan pelajaran malah mendapat pelajar terbaik pada tahun itu.

Beliau tidak menafikan bukan semua cerah menyinari hidupnya kerana menjelang 2000, anak lelaki tunggalnya, Mohd Hilman, 11, meninggal dunia secara tiba-tiba ketika mereka sekeluarga pergi membeli-belah.

Sungguhpun begitu, beliau reda dengan pemergian si kecil kerana yakin anaknya itu pasti menyambutnya di padang mahsyar kelak.

INFO: Profesor Dr Muhaya Mohamad
  • Memperoleh Fellowship dalam bidang Uveitis dari Hospital Mata Moorfields di United Kingdom pada 1998, manakala kelulusan PhD dari University of London dalam bidang Ocular Immunology.
  • Anak Malaysia terunggul pakar dalam bidang Uveitis. Beliaulah yang memulakan perkhidmatan Uveitis dan terapi immunosuppressive untuk penyakit mata autoimun di Malaysia. Kini, Prof. Muhaya dianggap sudut rujukan dalam bidang pengurusan penyakit uveitis sejak 1998. Beliau juga memberi latihan doktor pakar oftalmologi tempatan khususnya dalam bidang uveitis.
  • Pada 2005, Prof Muhaya dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Khas Terunggul (Special Distinguished Service Award) oleh Akademi Opthomologi Asia Pacifik (APAO) sempena Kongres APAO ke-20 yang diadakan di Kuala Lumpur.
  • Kini beliau adalah Perunding Pakar Bedah Mata selain menyandang jawatan Ketua Pusat Mata dan Lasik di Pusat Perubatan Prince Court; Profesor Oftalmologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Profesor Ajung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
  • Pengerusi Persatuan Doktor Mata Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Association Ophthalmological Society).
  • Selain oftalmologi, Prof Muhaya mempunyai minat yang mendalam dalam menyampaikan ceramah motivasi. Beliau sering diundang sebagai penceramah pada minggu orientasi di PCMC. Topik kegemaran beliau adalah Perwatakan Berkesan. Prof Muhaya juga sering diundang untuk berceramah kepada mahasiswa fakulti perubatan di UKM, IIUM dan USIM.
  • Wajah Prof Muhaya juga sering kelihatan di kaca televisyen berkongsi pengetahuan beliau dalam berbagai penyakit mata di saluran TV1, TV2 dan TV3. Selain itu, pada 2005 beliau menerbitkan bukunya dalam bahasa Inggeris bertajuk How to become a good and successful medical student