Thursday

Simbol ketabahan wanita Gaza (wawancara bersama isteri As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi)


Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah kembali membuat lawatan ke Malaysia.
Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi


Dalam ceramah-ceramah yang disampaikan oleh beliau di beberapa masjid, kita dapat mendengar dari kekuatan ucapannya dengan suaranya yang begitu bersemangat dan kadang-kadang sambil berdiri, kita terasa seolah-olah yang berucap itu adalah As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi sendiri.


Itulah tarbiyah yang telah dilaksanakan oleh Dr. Abdul Aziz kepada isterinya yang akan meneruskan usaha-usaha dakwah dan jihad di Palestin walaupun beliau telah pergi menemui Allah SWT dalam keadaan "Hidup Dan Mendapat Rezeki DariNYA".

Puan Rasya Al Adlouni adalah simbol kegigihan wanita Gaza yang telah membuktikan bahwa semangat dan kekuatan wanita yang beriman benar-benar boleh kita jadikan contoh tauladan bagi kaum wanita di negara-negara umat Islam lain. Walaupun umurnya sudah hampir 60 tahun dan kini mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang cucu, beliau masih mampu berdakwah dan menyampaikan kebenaran tanpa ditimpa oleh perasaan lemah dan gentar.

Beliau sangat bersyukur kerana melalui lawatannya ke Malaysia, beliau mendengar banyak penyampaian yang dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan berkenaan perjuangan di Palestin yang disampaikan oleh orang Malaysia namun beliau merasakan seolah-olah ianya disampaikan oleh orang Palestin sendiri kerana isinya benar-benar menyentuh hati dan itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang-orang Palestin termasuk suaminya As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi.
Penyampaian dan amanatnya kepada semua hadirin sungguh memberi kesan dengan suaranya yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda kesedihan di atas pemergian suaminya hampir sembilan tahun yang lepas. Ini sesungguhnya membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang hanya mengharapkan redha Allah SWT.
Sempena kedatangan beliau ke sini, marilah kita cuba meneliti kembali liku-liku kehidupan beliau bersama suami tercinta melalui wawancara yang diadakan setelah kesyahidan suami beliau, As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi.
Kita semua sudah tahu bahwa Dr Abdul Aziz Ar Rantisi syahid pada 17 April 2004. Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang tidak lain dan tidak bukan adalah isterinya yang bernama Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad).

Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan perolehi dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (QS Al-Baqarah : 120)
Kata-kata beliau (isteri as-Syahid) menggambarkan kesabaran yang luar biasa dan pendirian yang mengkagumkan disulami dengan sinar suara yang tidak ternilai serta tutur katanya yang lemah lembut.

Apa yang lebih penting, sifat tawadhu' yang terhimpun dalam percakapannya, perbualannya dan juga tindak-balasnya.

Apabila dikatakan kepadanya :

“Sesuailah ungkapan kepada puan bahwa di sebalik setiap lelaki hebat pasti ada seorang wanita yang hebat.”

Kata beliau :

“TIDAK! Demi Allah, jika ada di sana wanita yang menjadi sebab kejayaan Dr. Rantisi dan menjadi sebab sampai kepada matlamatnya, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah ibunya yang membimbing dan mendidiknya. Ibunyalah jua yang menanamkan kewibawaan dan rasa izzah.”

Maka dengan kalimat inilah bermulanya wawancara dengan Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad) isteri as-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi.
SOALAN : BAGAIMANA TITIK PERKENALAN PUAN DENGAN AS SYAHID?
JAWABAN : Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam.
Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke Mesir bagi meneruskan pengajian saya.
Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis, lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor.

Beliau tidak pernah menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat istimewa di kalangan masyarakat.
SOALAN : APAKAH CABARAN, MEHNAH DAN TRIBULASI YANG DIHADAPI OLEH AS SYAHID?
JAWABAN : Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadhah pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah keimanan bahawa Allah swt yang telah mentakdirkannya sebegitu. Sesungguhnya gerakan intifadhah ini adalah tanggungjawab kita samada beliau bersama atau tidak.
Ketika percubaan membunuh beliau pada 10 Jun, 2003, ketika itu saya sedang bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Perlu kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad (as-Syahid) sepanjang kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah semata-mata mencari keredhaan Allah swt. Hanya dengan itu akan tercapai kebahagiaan yang hakiki.
Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah semenjak Saidina Adam as sehinggalah ke hari ini.
SOALAN : BAGAIMANAKAH CARA DR. RANTISI DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK?

JAWABAN : Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka.
Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung melalui telefon.Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang (pada masa itu).
Anak beliau Ahmad 21 tahun (pada masa itu), yang terlibat dalam operasi pembunuhan tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun dalaman.Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.
SOALAN : BAGAIMANA PENERIMAAN DR. RANTISI TENTANG BERITA SYAHIDNYA SYEIKH AHMAD YASIN?

JAWABAN : Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketika majlis memperingati As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat berat untuk memikul tanggungjawab meneruskan perjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan matlamat perjuangan beliau dan para sahabatnya.
SOALAN : ADAKAH DR. RANSTISI TERKESAN DENGAN OPERASI PEMBUNUHAN SYEIKH AHMAD YASIN?

JAWABAN : Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidak menyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau tetap akan mati.
Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah satu. Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi diri saya. Katanya, ”Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah pemergianmu.”
SOALAN : APAKAH WASIAT DR. RANTISI KEPADA PUAN SEKELUARGA SEBELUM PEMERGIANNYA?

JAWABAN : Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30 tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada dari segi muamalat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami... kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.
SOALAN : BAGAIMANA PENERIMAAN PUAN TERHADAP BERITA KESYAHIDAN DR. RANTISI?

JAWABAN : Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami. Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman dan pendirian saya terhadap Allah swt, maka ini adalah suatu kelebihan pemberian Allah swt.
Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya terdengar beberapa letupan (tembakan). Ketika itu, saya yakin bahawa letupan itu ditujukan kepada suami saya.

Beberapa ketika kemudian saya bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya telah syahid.

Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah ‘Alhamdulillah’ kemudian saya terus berwudhu' dan mendirikan solat Isya'. Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya dan anak-anak dan Allah SWT sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa.
SOALAN : ADAKAH DR. RANTISI MERASAKAN BAHWA DIRINYA TELAH DEKAT DENGAN SYAHADAH?

JAWABAN : Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan terbaik.

Setiap pekerjaan yang dilakukannya dibina atas tiga asas :

1. Taqwa kepada Allah.
2. Ikhlas kerana Allah.
3. Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.

Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan memberikan setiap yang berhak akan haknya.
SOALAN : SETIAP PARA SYUHADA’ AKAN ADA TANDA-TANDA KEMULIANNYA. MAKA APAKAH KARAMAH DR. RANTISI?

JAWABAN : Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid.

Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu adalah karamah as-Syahid.
SOALAN : BAGAIMANA KEHIDUPAN DR. RANTISI SEBAGAI SEORANG BAPA, SUAMI, DATUK DAN PEJUANG?

JAWABAN : As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul sesuai dengan sepotong ayat yang bermaksud :

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu." (QS Az-Zariyat : 56).

Beliau mencontohi Rasulullah saw samada dari segi akhlak, hubungan masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada as-Syahid adalah satu ibadah, samada :

a. Mentaati ibunya.
b. Pergaulan bersama isterinya.
c. Memuliakan anak-anak.
d. Gurauan bersama cucu-cucunya.
e. Bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam.

Manakala di pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yang bermuamalah dengannya.
SOALAN : SIKAP ATAU SIFAT AS-SYAHID YANG TIDAK AKAN PUAN LUPAKAN?

JAWABAN : Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin kongsi bersama.
Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi. Saya rasa amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr. Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang rumah yang baru.

Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.
SOALAN : BAGAIMANAKAH SAAT-SAAT TERAKHIR DR. RANTISI BERSAMA KELUARGA, APAKAH KALIMAH TERAKHIR AS-SYAHID DAN BAGAIMANA KEADAAN DIRI BELIAU PADA HARI SYAHIDNYA BELIAU?

JAWABAN : Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk... tentang hal-hal keluarga dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya beliau kelihatan sangat gembira.

 Kalimah terakhir ketika beliau bersama kami ialah :

"Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu. Inilah kemuncak impianku.."
SOALAN : APAKAH CITA-CITA DR. RANTISI?

JAWABAN : Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.
SOALAN : BAGAIMANA KEHIDUPAN AS-SYAHID KETIKA MANA MENGIRINGI KESYAHIDAN SYEIKH AHMAD YASIN?

JAWABAN : Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu matlamat hidupnya dan jalan terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan ‘Istisyhad’(mempersiap diri untuk syahid) dan Jihad.
SOALAN : APA YANG INGIN PUAN KATAKAN KEPADA MUSLIMAT PALESTIN YANG SEDANG MENUNGGU GILIRAN SYAHIDNYA SUAMI, BAPA DAN ANAK-ANAK MEREKA?

JAWABAN : Saudari-saudariku yang dikasihi, sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasulullah saw yang mulia telah bersabda :
"Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas orang bawahannya dan wanita itu adalah dipertanggungjawabkan di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan apa yang di bawahnya".
Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung rahmatNya.
SOALAN : KALIMAH TAUJIHAT UNTUK PEMERINTAH NEGARA-NEGARA ARAB, PEMUDI-PEMUDI PALESTIN KHASNYA DAN PEMUDA-PEMUDI ARAB UMUMNYA?

JAWABAN : "Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya." (QS Al-Baqarah : 281)

Untuk pemuda-pemudi ingin saya katakan kepada mereka :

“Pulanglah kepada panduan asal kamu. Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup kamu.”

Sesungguhnya, kita perlu menelusuri jejak dan kekuatan wanita-wanita di Gaza yang sentiasa melahirkan pejuang-pejuang dan mujahid-mujahid yang akan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Israel.
Ia adalah sebuah kisah sebuah bangsa di atas sejengkal Tanah Suci. Penduduk Palestin yang merupakan sebahagian dari tanah Syam memang merupakan penduduk yang mempunyai sifat ketegaran.

Banyak peristiwa yang pernah berlaku di sana dan akan banyak lagi yang kelak akan berlaku di sana di akhir zaman ini di mana kita semestinya belajar dari peristiwa ini terutama umat Islam. Semua sudut perlu menjadi pelajaran termasuk dari sudut kemanusiaan sebagai wanita.
Tahun baru Hijriyah 1434 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu pengeboman Israel yang bertalu-talu ke atas tanah Gaza. Pemandangan yang sungguh memilukan. Namun Allah SWT menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan televisyen dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.
Apa yang kita dengar dari berita :
1. Ada ibu dari keluarga di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.
2. Seorang wanita mengatakan: "Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi)."

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: "Tinggal di rumah pun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. Kita hanya mati sekali."

4. Selama seminggu, Israel berjaya membunuh  100 orang rakyat Palestin termasuk 53 orang awam dan mencederakan 840 orang termasuk 225 kanak-kanak. Namun, selama masa itu pula ramai lahirnya bayi baru sehingga ada wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.
Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: "Hai kamu masih hidup ya?"

Wilayah ini sudah tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah termasuk pejabat Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman.
Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunannya.

Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jamaah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya ketahanan yang amat tinggi.
Jangan lupa, sebelum pengeboman, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 6 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi.
Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu.
Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu:

a. Tidak lemah mental mereka
b. Tidak lemah penampilan mereka
c. Tidak lemah aktiviti mereka
Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan.

Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidak takut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara langsung. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka.
Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahwa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan.
Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar.

Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan ada seorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari.
Berikut adalah beberapa kesimpulan yang boleh dibuat :
1.Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana "stress" atau tekanan mental menghadapi roket-roket Hamas.
2. Ketabahan mereka ternyata berdasarkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah SWT mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban.
3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka.
Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka. Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling berkesan selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?
Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka. Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban.

Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan.
Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka.
Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka.
Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain.
Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh dan membesar menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari kiamatpun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yang baru.
Ya Allah, terimalah amal-amal mereka yang telah Syahid di jalanMu. Sesungguhnya kami juga akan menyusul mereka. Kurniakanlah kematian yang paling baik kepada kami iaitu Syahid di jalanMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS